Pengenalan
Kata majmuk
Menurut Za’ba dalam bukunya Pelita Bahasa Melayu, kata majmuk ialah perkataan bersatu. Za’ba lebih menumpukan pada cara menulis kata majmuk, sama ada ditulis bercantum atau terpisah.
Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, proses pemajmukan ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk juga dieja terpisah dan bertindak dalam satu unit, iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Contohnya, bom tangan ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan unsur lain seperti ‘yang’. Namun bagi kata pinggan mangkuk bukan kata majmuk kerana dapat diselitkan kata hubung ‘dan’.
Berdasarkan kedua-dua penjelasan diatas, dapat dirumuskan bahawa kata majmuk merupakan dua atas lebih kata yang digabungkan dan akan member makna yang baru dan tidak lagi membawa makna yang sama dengan kata dasar yang belum digabungkan. Misalnya, kaki ayam tidak mengambarkan anggota kaki ayam tersebut tetapi telah member makna yang lain iaitu seseorang yang tidak memakai kasut atau selipar.
Kata majmuk mengadungi dua atau lebih kata dasar. Misalnya kapal terbang yang terdiri daripa dua kata dasar iaitu kapal dan terbang. Kata majmuk juga ditulis secara terpisah dan juga bercantum. Kebiasaannya, kata majmuk ditulis secara terpisah dan mempunyai tiga kelompok kata majmuk yang ditulis terpisah:
1) Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata bebas
Contohnya: tengah hari, merah jambu, jam dinding, meja makan, nasi minyak, terima kasih, biru laut, kuning langsat, kapal terbang, kereta sorong.
Dalam kategori ini termasuk juga kata yang digunakan sebagai gelaran.
Contohnya: Perdana Menteri, Ketua Menteri, Mentari Besar, Setiausaha Politik, Profesor Madya, Duta Besar.
2) Kata majmuk yang merupakan istilah khusus
Contohnya: Atur cara, urus setia, kertas kerja, batu kapur, mata pelajaran, reka bentuk, segit tiga, pita suara, pita rakaman, darah panas, dan hati batu.
3) Kata majmuk yang mendukung maksud kiasan, iaitu simpulan bahasa
Contohnya: hati batu, kaki ayam, anak emas, bulan madu, ringan tangan, makan angin, makan hati, kepala batu, pilih kasih dan buah hati.
Disamping itu, terdapat juga kata majmuk yang ditulis secara bercantum. Ini kerana penggunaanya sudah dianggap mantap sebagai satu perkataan. Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, contoh kata yang ditulis bercantum ialah antarabangsa, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, bumiputera, kakitangan, olahraga, warganegara, pesuruhjaya, matahari dan sebagainya.
Kata majmuk yang ditulis terpisah pula akan ditulis serangkai apabila menerima apitan. Contohnya, pengenalpastian, menandatangani, pengambilalihan,dikuatkuasakan dan sebagainya. Kata majmuk yang menerima awalan atau akhiran perlu ditulis secara terpisah. Contohnya, daya serapan, mengambil berat dan sebagainya.
Terdapat pelbagai cara untuk mengenalpasti kata majmuk, misalnya, kata majmuk tidak dapat menerima sebarang sisipan. Contohnya:
Warganegara tidak dapat disisipkan dengan kata yang untuk membentuk warga yang negara.
Kakitangan tidak dapat disisipkan dengan kata dan bagi membentuk kaki dan tangan.
Pesuruhjaya tidak dapat disisipkan dengan kata dan bagi membentuk pesuruh dan jaya.
Ada juga kata majmuk yang terbentuk daripada dua patah kata yang berbeza tetapi maknanya sama atau hampir-hampir sama.
Contohnya: cantik jelita, hancur lebur, dan sunyi sepi.
Dua patah kata yang sama atau hampir sama maknanya itu dimaksudkan untuk menyatakan makna kesangatan. Misalnya, cantik jelita bererti sangat cantik, hancur lebur bererti hancur sama sekali, dan sunyi sepi bererti sangat sunyi
Kata majmuk mempunyai makna yang khusus dan berbeza dengan kata asalnya. Contohnya, sapu tangan. Sapu tangan merujuk kepada kain yang bersegi empat dan digunakan untuk menyapu muka dan sebagainya tetapi berbeza dengan makna perkataan asalnya iaitu sapu merupakan berbuatan dan tangan adalah salah satu anggota badan manusia. Begitu juga dengan kata bumiputera, kakitangan dan sebagainya.
Kebiasaanya, kata majmuk tidak mematuhi hukum Diterangkan- Menerangkan (DM). Contoh:
Setiausaha Politik
(M) (D)
Bumiputera
(M) (D)
Menurut Ahmad Khair Mohd Nor dalam bukunya Pembentukan Kata Dalam Bahasa Melayu, kata-kata yang membina kata majmuk terdiri daripada kata inti + kata inti. Oleh itu, hubungan antara kata-kata yang membentuk kata majmuk adalah sangat erat dan tidak dapat dipisahkan lagi. Contoh kata guru besar yang merupakan jawatan pentadbir di sekolah rendah, namun jika dipisahkan kata guru dan besar akan membawa makna yang lain.
Selain itu, unsur bagi kata majmuk tidak menerangkan makna dari segi satu kata menerangkan kata yang lain. Contohnya, tanggungjawab tidak mempunyai hubungan makna tanggung menerangkan jawab atau jawab menerangkan tanggung.
Jenis kata majmuk
Terdapat beberapa jenis kata majmuk yang boleh dibentuk. Contohnya seperti berikut:
1) Kata tunggal dengan kata tunggal
Contoh: hati batu, kepala batu, kaki ayam, kenalpasti.
2) Kata tunggal dengan kata terbitan
- Kata tunggal adalah sebagai unsur pertama dan kata terbitan pula merupakan unsur yang kedua.
Contoh: batu loncatan, buruh paksaan, surat pekeliling.
- Kata terbitan sebagai unsur pertama dan kata tunggal sebagai unsur yang kedua.
Contoh: pemanis bicara, bercampur gaul, mengambil alih.
3) Kata terbitan sepenuhnya
Contohnya: penyiasat persendirian, penyata kewangan, penyata tahunan, pengawal keselamatan
Pengandaan kata majmuk
Kebiasaannya penggandaan kata majmuk ini hanya melibatkan penggandaan unsur yang pertama sahaja maknanya kata yang pertama sahaja juga dikenali sebagai penggandaan separa kata majmuk. Contohnya:
Kata Dasar | Penggandaan separa kata majmuk |
Kata hubung | Kata-kata hubung |
Rajah pohon | Rajah-rajah pohon |
Balai raya | balai-balai raya |
Menteri besar | Menteri-Menteri Besar, |
Ketua menteri | Ketua-Ketua Menteri, |
Garis pusat | garis-garis pusat |
Kata aluan | kata-kata aluan |
Namun begitu, terdapat pengecualian terhadap penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap, penggandaannya mestilah keseluruhan unsur. Contohnya:
Kata dasar | Penggandaan penuh kata majmuk |
pesuruhjaya | Pesuruhjaya-pesuruhjaya |
tandatangan | Tandatangan-tandatangan |
kakitangan | Kakitangan-kakitangan |
jawatankuasa | Jawatankuasa-jawatankuasa |
suruhananjaya | Suruhanjaya-suruhanjaya |
Pengimbuhan kata majmuk
Apabila kata majmuk menerima imbuhan akan menghasilkan kata terbitan. Pengimbuhan kata majmuk terdapat dua bentuk, iaitu:
1) Kata majmuk yang menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah
Contohnya: campur aduk – bercampur aduk
Ambil alih – mengambil alih
Daya serap – daya serapan
2) Kata majmuk yang menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum.
Contohnya: satu padu – menyatupadukan
Urus niaga – diurusniagakan
Garis kasar – menggariskasarkan
Campur aduk – mencampuradukkan
Bentuk Kata majmuk
Dari segi bentuknya, kata majmuk terbahagi kepada beberapa golongan seperti yang berikut:
(a) kata nama majmuk;
(b) kata bilangan majmuk;
(c) kata adjektif majmuk;
(d) kata kerja majmuk;
(e) kata sendi majmuk;
(f) kata keterangan majmuk;
(g) Kata hubung majmuk.
Penggolongan Kata Majmuk | Contoh Perkataan |
Kata nama majmuk | Ketua Pelajar, Naib Canselor, Guru Besar, bulan madu, tandatangan, setiausaha, balai raya, kaki ayam, surat khabar |
Kata kerja majmuk | Bebas (tidak terikat dengan sebarang imbuhan) angkat kaki, buang air, campur tangan, datang bulan, dan gulung tikar Terikat mengadu domba, mengambil alih, mengambil berat, menganggap sepi, mengangkat sembah, membalas budi, membanting tulang, mencari gali, bercerai susu, berdiam diri, menyalahgunakan, menembak mati, dan bertungkus lumus. |
Kata adjektif majmuk | Hijau daun, merah jambu, panas terik, sejuk beku,muda remaja, dukacita, sukacita, terang hati. |
Kata tugas majmuk | Barangkali, bagaimana, walhal, daripada, kepada, manalagi,kadangkala. |
Kata bilangan majmuk | tiga puluh, dua pertiga, dan dua ratus lima puluh. |
Kata sendi majmuk | darihal, daripada, dan kepada. |
Kata hubung majmuk | apabila, manakala, dan meskipun |
Kata majmuk dari segi makna
Dari segi maknanya, kata majmuk dapat dibahagi kepada dua jenis seperti yang berikut:
(a) kata majmuk wajar;
(b) kata majmuk kiasan
Kata majmuk wajar ialah kata majmuk yang sebenarnya, yang maknanya dapat diketahui daripada makna katakata yang menjadi komponennya.
Misalnya, buah anggur ialah kata majmuk wajar kerana maknanya tidak lain daripada buah yang bernama anggur.
Kata majmuk kiasan pula ialah kata majmuk yang maknanya lain daripada makna yang ada pada kata-kata yang menjadi komponennya.
Misalnya buah hati ialah kata majmuk kiasan kerana maknanya tidak kenamengena dengan buah ataupun hati. Makna buah hati ialah kekasih yang dicintai, bukan buah yang bernama hati.
1) Berikut ialah beberapa contoh kata majmuk wajar
Contoh: adat istiadat, harga borong, merah jambu, emas putih, gagah berani, sabun mandi, orang gaji
2) Berikut ialah beberapa contoh kata majmuk kiasan
Contoh: anak angkat, cahaya mata, buah mulut, gaji buta, kecil hati, kata dua, batu loncatan, bulan madu.